2 September 2012

Kepuasan Bekerja

Mencari dan memilih satu kerjaya yang kita mampu cemerlang bukannya satu perkara yang mudah.  Sebab itulah ramai orang bertukar tempat kerja dan bertukar kerjaya setelah beberapa tahun menceburinya.  Sekiranya kerjaya yang dipilih itu bersesuaian dengan minat maka potensi untuk cemerlang itu besar.  Begitu juga apabila organisasi kita bekerja itu sebuah organisasi yang sejiwa dengan kita maka potensi untuk kita kekal lama disitu pastilah besar. Kecemerlangan dalam kerjaya bermula dari peringkat awal pemilihan sesuatu kerjaya itu sendiri.  Ketepikan soal gaji dalam memilih kerjaya sebab ia bukan faktor utama anda kekal disesuatu tempat kerja.  Malah tidak ada gunanya gaji yang lumayan sekiranya anda tidak punya masa untuk aktiviti yang lain dan diperah habis-habisan umpama santan kelapa.  Memang gaji itu penting sebagai sumber pendapatan tetapi ia perlu diseimbangkan dengan faktor-faktor lain yang juga menyumbang kepada keseronokan bekerja.

Sebelum anda membuat sesuatu keputusan untuk bertukar kerja atau menerima tawaran kerja maka lebih baik anda ketahui terlebih dahulu apakah yang sebenarnya yang dikatakan kepuasan bekerja.

Berikut adalah perkara yang dicari oleh seorang yang bekerja mengikut turutan keutamaannya:

1.    Komunikasi Terbuka.  Sebagai pekerja kita lebih suka sekiranya apa jua masalah di tempat kerja dapat diselesaikan segera dan wujudnya komunikasi dua hala.  Bukan sahaja majikan boleh menegur kita tetapi mereka juga terbuka dalam menerima pandangan dan teguran kita sebagai pekerja.  Sebab kerapkali kita yang bergelumang dengan tugas-tugas rutin seharian ini lebih arif dan lebih tahu tentang masalah yang wujud dan bagaimana untuk mengatasinya.  Malangnya, apabila majikan tidak menerima pandangan maka kita rasakan seolah-olah kesungguhan kita untuk melihat syarikat maju tidak dipedulikan.  Sebab itulah komunikasi terbuka itu penting dan merupakan perkara paling utama dalam bekerja.

2.    Bidang Tugas.  Ramai mereka yang berhenti kerja kerana merasakan tugas yang diberikan tidak seiring dengan minat serta kecenderungan mereka.  Mereka tidak puas dengan apa yang dihasilkan kerana mereka tahu bakat dan kebolehan tidak disalurkan sepenuhnya disebabkan bidang tugas yang tidak sesuai.  Sebab itulah kita perlu menilai semula adakah bidang tugas yang kita pikul itu adalah betul.  Ramai mereka yang cuba mencari pekerjaan lain gagal mengenalpasti bahawa inilah punca masalahnya dan akhirnya sering bertukar majikan.  Cubalah berbincang dengan majikan tentang bidang tugas anda agar anda mampu berikan yang terbaik kepada mereka.

3.    Kebebasan Menjalankan Kerja.  Tiada siapa pun yang seronok kalau setiap pergerakan mereka dipantau dan diperhatikan oleh orang atasan atau majikan.  Oleh itu kalau mahu bertukar kerja pastikan anda bebas menjalankan kerja.  Yang penting semuanya beres sebelum atau pada masa yang telah ditetapkan.  Pekerja biasanya rimas apabila setiap hari ditanya tentang tugasan yang diberikan seolah-olah majikan tidak mempercayainya mereka.

4.    Jaminan Kerja.  Kenapa ramai orang suka bekerja dengan kerajaan?  Sebabnya ialah jaminan kerja yang diberikan serta adanya duit pencen disamping insentif-insentif yang lain.  Sebab itulah ramai orang memilih jaminan kerja sebagai salah satu perkara yang penting dalam memilih kerjaya.  Sekiranya anda bekerja dengan organisasi yang tidak mampu memberikan jaminan tentang masa depan anda maka usah bimbang.  Apa yang perlu anda lakukan ialah buat kerja dengan cara yang terbaik dan bina reputasi cemerlang.  Dengan reputasi hebat maka organisasi pasti bimbang akan kehilangan anda.  Malah dengan reputasi hebat tidak sukar untuk anda mendapat pekerjaan di tempat lain.

5.    Rangsangan Kerja.      Pekerja suka bekerja dalam suasana yang kondusif, harmoni dan wujud sikap bantu membantu antara satu sama lain.  Ini membantu motivasi diri mereka.  Kerja-kerja rutin apabila sampai satu tahap akan membosankan dan majikan yang baik biasanya akan membuka peluang untuk seseorang pekerja itu untuk melakukan tugas-tugas yang lain pula bagi mengelak kebosanan ini.

6.    Faedah lain dan insentif.  Faedah-faedah lain seperti bayaran perubatan, elaun perumahan, bonus tahunan, bonus perayaan dan sebagainya merupakan antara perkara yang juga diambilkira dalam memilih kerja atau memutuskan untuk bertukar kerja.  Walaupun gaji yang diterima lebih rendah tetapi sekiranya insentif-insentif sebegini wujud maka ia sudah cukup membuatkan seseorang pekerja merasa puas kerana merasakan sumbangan mereka dihargai.

7.    Waktu kerja yang fleksibel.  Ada orang seronok bekerja disesebuah organisasi kerana waktu kerjanya fleksibel.  Maksudnya mereka boleh masuk awal dan pulang awal atau masuk lewat dan pulang lewat.  Mereka boleh tinggalkan seketiga tugasannya kerana ada urusan peribadi atau urusan keluarga yang penting dan menggantikan waktu kerja itu dengan waktu yang lain.  Yang penting bagi mereka setiap tugasan dan kerja yang dipertanggungjawabkan dilaksanakan dengan baik mengikut jadual yang diberikan.

8.    Peluang untuk maju.  Bagi ramai pekerja mereka sentiasa memikirkan tentang masa depan mereka.  Apabila mereka rasakan bahawa peluang untuk maju dalam kerjaya itu tiada maka mereka mula merasa bosan dan berfikir untuk bertukar kerja.  Anda perlu sekurang-kurangnya tiga tahun bekerja disesebuah organisasi untuk menilai sejauh mana majikan menilai sumbangan anda.  Sekiranya selepas tiga tahun segala-galanya sama sahaja maka berbincanglah terus dengan pihak atasan.  Sekiranya mereka tiada perancangan untuk masa depan anda maka tidak salah untuk anda mencari kerja yang lain.

9.    Gaji dan upah.  Ramai yang selama ini menyangkakan bahawa kepuasan bekerja letaknya pada gaji dan upah yang lumayan.  Hakikat sebenar adalah sebaliknya, malah gaji dan upah duduknya pada tangga yang kesembilan. Tidak ada ertinya gaji yang tinggi apabila anda tidak punya masa untuk keluarga, untuk masyarakat dan untuk diri sendiri.  Gaji dan upah lumayan 

hanyalah hanya memberikan kepuasan jangka pendek sahaja dan bukannya jangka panjang.

10.    Saiz organisasi.  Kebanyakan pekerja tidak mementingkan sangat saiz organisasi tempat mereka bekerja.  Ada yang sukakan organisasi yang mempunyai pekerja yang ramai tetapi ada pula yang lebih senang dengan saiz organisasi yang kecil dengan pekerja kurang dari 20 orang.  Ada yang suka bekerja dengan organisasi yang mempunyai nama yang gah seperti Telekom, TNB, Utusan, Proton dan sebagainya.  Tetapi ada pula yang mahu bermula dengan organisasi yang kecil dan mahu berkembang maju seiring dengan organisasi tersebut.  Apa sekalipun, kepada kebanyakkan orang, saiz organisasi bukanlah penyebab utama mereka memilih sesuatu pekerjaan.


Fikir2kan Lah... dan Selamat Beramal....