15 August 2012

Kenal Erti Jatuh, Sebelum Kita Rasa Kejaya ..~

Hari ini ketika singgah di pejabat PTS sempat berbual rancak dengan CEOnya Puan Sifu Hjh. Ainon. Memang banyak perkara yang dibincangkan dan pelbagai idea yang terkeluar. Saya sempat menceritakan kepada Puan Sifu bahawa saya sedang menyiapkan buku Sikap Penentu Kejayaan. Puan Sifu berkata, anak-anak kita ni patut diajar cara jatuh. Jangan sangka bahawa hidup ini mudah dan lurus sahaja tanpa ada waktunya kita jatuh. Anak-anak yang tidak begitu cemerlang lebih pandai mengurus emosi apabila jatuh berbanding anak-anak yang bijak pandai.

Kebetulan pagi tadi saya menerima panggilan dari seorang bapa yang bertanyakan bila kursus Motivasi Alihan Pelajar selepas raya akan diadakan. katanya dia pernah masukkan anaknya ke dalam kursus MAP ini dan kesannya alhamdulillah. Masalahnya sekarang ialah anak saudaranya yang kini sedang belajar di kolej. Pelajar ini memang cemerlang dalam SPMnya dan boleh dikatakan ulat buku. Hidupnya ialah belajar.. belajar dan belajar. Dia meletakkan harapan yang tinggi untuk cemerlang tetapi malangnya dia mendapat keputusan C dan D sahaja dalam peperiksaannya. Dengan kata lain dia jatuh! Kesannya, dia terus tidak mahu memegang buku dan berkata, “lantaklah selepas ini nak jadi apa”.

Kenapa seorang pelajar yang asalnya pintar bertindak sebegini? Sebab dia tidak pernah diajar cara jatuh. Cuba kita lihat, mat rempit apabila jatuh motosikal siap patah-patah dan cedera teruk tetapi kenapa penunggang motorsikal yang profesional, yang sering kita saksikan di kaca TV, tidak seteruk itu cederanya meskipun kelihatan jatuhnya bukan main teruk? Sebab mereka sudah bersedia untuk jatuh dan mereka tahu bagaimana untuk jatuh dan berguling bagi mengurangkan kecederaan apabila berlaku kemalangan. Dengan kata lain mereka telah pun belajar cara jatuh. Maknanya apabila kita belajar cara jatuh maka kita dapat kurangkan impak dan kesannya ke atas diri kita. Secara tidak langsung kita mudah untuk bangun kembali dan meneruskan perjuangan.